Aku yang sedang tidur lena dikejutkan rakan sekhemah. Jam waktu itu aku kira dalam pukul 3pagi. Suasana diluar riuh rendah namun masih terkawal. Masing2 bergegas mencari kain batik dan berlari keluar berhimpun di bawah langit malam dengan senaskah Al-Quran tergenggam kemas ditangan masing2. Malam gelap tanpa bintang. Bunyi cengkerik menjadi satu ton bernada indah yang mewarnai malam. Angin pantai berhembus kencang. Dingin terasa hingga kesusuk tulang.
Dalam satu kumpulan kira2 6 ke 7 orang, kami diberi satu lilin. Lilin yang dinyalakan. Terpadam. Dinyalakan lagi. Maka pesan fasi, perjalanan yang panjang ini, andai lilin itu terpadam, pandai2lah membawa diri. Perjalanan kami bermula. Takut. Aku kira semua pun rasa. Berjalan serapat yang boleh menyelosori hutan hujan dengan laungan zikir dalam setiap langkah. Tanpa tujuan yang jelas dan fahaman yang pasti akan apakah yang akan berlaku dihadapan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Hinggalah kelihatan satu cahaya dari lampu suluh aku kira yang menerangi satu kawasan. Maka disitulah bermulanya stesen pertama.
2 gulung tisu tandas dan 2 batang kayu panjang bertukar tangan. Keadaan sekeliling yang diterangi cahaya malap dari api lilin menyuramkan keadaan. Masing2 berdiam. Dalam senggang waktu yang cukup pantas, aku didirikan tegak, dibalut seluruh badan serupa mayat dengan gulungan tisu tandas yang diberi oleh 3rakan. Hanya raut wajah yang kelihatan. Dibaringkan rakan sekumpulan diatas usungan yang kiri kanannya berupa kayu panjang dan alasnya berupa kain batik. "As jangan buat muka macam tuh", itu teguran terakhir kawan aku sebelum aku diangkat dan diusung mereka dengan lafaz "Lailahaillallah" yang berulang2 sepanjang perjalanan. Sehingga kini aku tidak pernah bertanya apakah reaksi dan mimik muka aku tatkala itu. Yang pasti, jantung aku sendiri berdegup kencang. Ya tuhan, aku berada disatu situasi dimana aku sekarang adalah mayat mati yang tak mampu bersuara dan kaku dalam balutan kafan tisu toilet. Aku harap aku cukup ringan.
Usungan berhenti dan aku diletakkan perlahan diatas tanah. Rakan sekumpulan mula mengelilingi. Diketuai fasi bacaan Yassin bermula. Dengan hanya sebatang lilin sebagai sumber cahaya, kitab Al-Quran ditangan masing2 dibuka. Aku disitu hanya kaku. Tidak mampu bergerak apatah lagi bersuara. Hanya mampu melihat setiap raut wajah dalam kesamaran cahaya malap. Dan hanya mampu mendengar setiap bait bacaan. Bacaan yang ditujukan pada aku. Tangisan itu, tangisan itu berlangsung hingga kehujung bacaan. Tuhan, aku pengumpul dosa tapi bukan penghitungnya. Tuhan, aku tahu apa itu tidur sementara mahupun tidur selamanya tapi aku selama ini lupa. Tuhan, aku tahu apa itu syurga tapi aku hidup dalam neraka dunia yang menipu daya. Tuhan aku banyak dosa. Dan tangisan itu berlanjutan hingga ke stesen seterusnya.
Perjalanan ke stesen terakhir lebih cepat dari sebelumnya. Sehinggalah aku sedar aku dibaringkan diatas pasir dengan deruan ombak yang jelas kedengaran. Tisu dibadan dirungkaikan. Aku dibangunkan. Dan kami dikumpulkan di sisi pantai dengan nyalaan api di tengah dan pasir yang digali serupa liang lahad. Suasana hening dan langit malam yang cerah dari sebelumnya dihiasi indah dengan laungan zikir rakan2 dari kumpulan lain yang telah tiba dahulu sebelumnya. Sementara menunggu mereka yang lain, kami direnjis dengan haruman2 kebiasaan yang direnjis keatas mayat. Bau kemenyan juga menguasai kawasan himpunan.
Sehinggalah kumpulan terakhir tiba. Seorang saudara lelaki dibaringkan didalam liang lahad. Ketulan pasir mula menimbus. Yang tinggal hanyalah kepala dan wajah yang diberi ruang untuk bernafas. Bacaan talkin jenazah mula dilaungkan si ketua yang berdiri dan bersuara lantang dan menggerunkan. Tangisan aku yang sudah terhenti awalnya tadi kini diganti dengan esakan rakan2 lain dibelakang. Aku kira malam gelap yang hening itu tiada siapa yang banyak bersuara lantaran masing2 mata bergenang air mata. Dan itulah, itulah malam Ramadhan yang paling bermakna dalam kehidupan aku sehingga ke hari ini. 2 tahun sudah berlalu, dan 2 kali Ramadhan telah berganti. Menjadi mayat dalam hembusan nafas yang masih bertahan dan roh yang masih dimiliki jasad adalah satu perkara yang pasti aku ingati sehingga aku sendiri tiba disaat yang hampir sama suatu hari nanti.
Itu cerita Ramadhan pertama aku di ump. Ramadhan di ump adalah sesuatu perkara yang sangat hebat dalam membawa aku mengenali pencipta dan belajar hidup dalam suasana Ramadhan yang ada definisinya tersendiri.
Berbanding dengan Ramadhan kali ini. Ini adalah Ramadhan dimana aku mampu berpuasa penuh 30hari dirumah bersama keluarga aku setelah bertahun-tahun tidak berpeluang berbuat demikian. Gembira. Benar gembira.. cuma ada pincangnya. Kerana Ramadhan ini adalah Ramadhan paling kosong pernah aku rasa dalam sisi kehidupan aku sebagai remaja yang menjarak kepada dewasa.
Tiada usrah, tiada tazkirah, tiada tarawikh dan tiada iftar jama'e. Aku rindu. Rindu untuk turun masjid diwaktu petang dan beramai2 menyediakan juadah berbuka. Rindu untuk berbuka didalam talam beramai2 dimasjid setiap hari. Rindu untuk bersolat tarawikh berimamkan suara lembut dan bacaan lancar si imam. Ramadhan yang cukup terisi..
Moga dengan saki baki Ramadhan yang masih ada, aku mampu mengisi hati dengan mengingatimu. Berseorangan dalam pencarian tuhan sememangnya sesuatu yang jauh lebih sukar dibandingkan sesuatu yang diimarahkan secara beramai2. Tapi, hanya dengan mengingati tuhan hati akan menjadi tenang.
Moga ini bukanlah Ramadhan terakhir dalam perjalanan roh yang diberi tuhan. Moga ini bukanlah Ramadhan yang terakhir tuhan.. Kerana telah banyak hari dan banyak waktu dalam keseluruhan kehidupan yang telah aku sia2kan. Bantu aku. Moga pencarianku tidak terhenti disini..


No comments:
Post a Comment